Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan melaungkan sokongan agar Kim Pan-gon terus diberikan peluang sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Malaysia mencatatkan satu kemenangan dan satu seri dalam dua aksi terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 tetapi gagal melangkah ke pusingan seterusnya setelah menamatkan kumpulan D di tangga ketiga.
Skuad kendalian Kim Pan-gon masih berpeluang untuk ke Piala Asia edisi seterusnya tetapi perlu mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 terlebih dahulu.
Datuk Zainal Abidin berpendapat Kim Pan-gon berjaya meninggalkan impak positif sepanjang menjadi ketua jurulatih Malaysia namun prestasi baru-baru ini sedikit sebanyak menenggelamkan kemampuan sebenar Kim Pan-gon.
“Ini analisis saya sendirilah, kalau memikirkan apa yang Kim Pan-gon lalui saya rasa dari segi dasar peningkatan dan keputusan, beliau berjaya.
“Bagi saya dia tak ada pemain dia sendiri (masalah kecederaan pemain utama). Walaupun dia memilih pemain tidak sepenuhnya (kesebelasan utama terbaik) dia tetap jalankan tugas dengan cemerlang, saya tidak nafikan.
“Bagi saya berilah beliau masa lagi dan peluang untuk mengendalikan sebab memang ada peningkatan jika dilihat dari 10 tahun kebelakang ini.
“Walaupun kita memberi kredit kepada beliau, masih lagi kita nampak benda-benda yang tak sepatutnya tetapi mungkin beliau akan belajar daripada itu.
“Jika dalam masa singkat kita nak segala-galanya daripada beliau memang susah. Saya rasa dalam masa Kim Pan-gon berehat beliau akan buat kajian apa yang sepatutnya dibuat selepas ini.
“Saya nampak kita akan dalam perjalanan yang baik kalau beliau terus menjadi ketua jurulatih kebangsaan.” ujar Datuk Zainal Abidin dalam program Nindia Bola.
Harimau Malaya berjaya naik tiga anak tangga untuk berada di kedudukan 135 dunia berdasarkan kemas kini terbaru ranking FIFA.