“Berikan Sokongan Penuh Kepada Selangor & Faisal Halim” – Amirudin Shari
MakanBola
Amirudin Shari
Sponsors

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berharap penyokong Selangor FC dapat memberi sokongan penuh kepada Merah Kuning dan Faisal Halim.

Kenyataan ini dibuat beliau kepada media selepas melawat pemain sayap kebangsaan itu di sebuah hospital swasta di Shah Alam hari ini.

Ad

Faisal sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang baru-baru ini.

Ad

Situasi ini mengakibatkan beliau mengalami kelecuran tahap empat dan perlu menjalani beberapa pembedahan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

Amirudin mengakui apa yang berlaku sebagai satu detik hitam bukan saja buat Faisal tetapi juga buat pasukan Selangor.

Ad

Atas sebab itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi sokongan kepada pemain sayap berusia 26 tahun itu untuk kembali pulih.

Ad

“Keadaan dia (Faisal) jauh lebih baik berbanding selepas peristiwa itu berlaku, dari segi fizikal doktor memaklumkan bahawa proses pemulihan dia berlangsung dengan sangat cepat.

Ad

“Namun, kita kena melihat keseluruhan aspek termasuk psikologi dan sebagainya. Saya percaya Faisal wajar diberi masa yang secukupnya untuk pulih sepenuhnya.

“Dia masih dalam proses pemulihan dan itu sudah pasti satu peristiwa ngeri kepada perjalanan hidup dia. Saya percaya dia masih lagi trauma terhadap kesan daripada peristiwa itu,” katanya.

Menjelang aksi kedua Liga Super membabitkan Selangor dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berlangsung esok, Amirudin turut menyeru sokongan padu peminat kepada Merah Kuning.

Ini kerana sokongan padu penyokong mampu menjelmakan nota positif kepada buat barisan pemain Selangor.

“Kepada semua peminat bola sepak negeri Selangor, terima kasih kerana memberi kata-kata semangat khususnya kepada Faisal (Halim) dan pasukan Selangor dalam mendepani satu detik yang gelap. Doa saudara-saudara, semoga makbul.

“Saya harap kita bersatu hati dalam memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepak negeri Selangor. Saya percaya dengan sokongan anda yang berkesan dan padu, itu akan membangkitkan semangat dan kekuatan dalam kalangan pemain-pemain pasukan Selangor.

“Berikan sokongan penuh dan doakan yang terbaik buat Faisal Halim,” tambahnya lagi.

Faisal kini menunjukkan perkembangan positif dari segi pemulihan termasuk sudah boleh berjalan dan memiliki selera makan.

Dan selepas dipindahkan dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa, beliau kini dapat berhubung dengan keluarga selepas kebenaran doktor.