Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif sehingga hari ini.
Umum mengetahui bahawa beliau diserang oleh individu misteri yang menyimbah asid sehingga menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat.
Beliau kini menerima rawatan di salah sebuah hospital Shah Alam dan sudah pun menjalani beberapa pembedahan.
Perkembangan terbaru menyaksikan tonggak Harimau Malaya itu menunjukkan tanda-tanda positif mengenai kesihatannya.
Menerusi perkongsian oleh Datuk Seri Shahril Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Faisal kini difahamkan sudah dibenarkan untuk bertemu dengan anak-anaknya tetapi hanya dari jauh sahaja.
Faisal Halim mengucapkan jutaan terima kasih kepada keprihatinan dan doa yang telah diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan tahap kesihatannya selama ini.
Anak jati Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu sebelum ini difahamkan mengidam untuk menjamah Nasi Kandar namun berada dalam pantauan diet yang ditetapkan oleh pihak perubatan.
Beliau dilaporkan membuat permintaan untuk makan ayam penyet selepas hampir seminggu berada di hospital.
Selera makan Faisal turut semakin bertambah dengan terkini pemain berusia 26 tahun itu sedang membiasakan diri dengan diet biasa selain turut menyampaikan hasrat untuk menikmati nasi kandar nanti.
“Yang keduanya, selera makannya dah bertambah, bukan hanya diet ringan tapi juga boleh makan diet biasa. Saya dengar (Faisal) pun dah teringin nak makan nasi kandar dan sebagainya,” ujar Shahril Mokhtar dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkongsi bahawa persiapan pasukan Selangor FC kini dalam tahap terbaik dan moral para pemain tidak terjejas menjelang aksi Liga Super kedua berdepan Kedah nanti.
The Red Giants bakal menerima kunjungan Kedah Darul Aman pada Sabtu, 18 Mei di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan sepak mula dijadualkan jam 8.15 malam.