Jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido percaya skuad negara bakal berdepan kesukaran menentang China esok.
Harimau Muda meraih kemenangan pertama ke atas ubi muda China sejak 1991 pada perlawanan yang berlangsung pada 23 Disember lalu.
Bek tengah Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira dengan menanduk gol kemenangan pada minit ke-95.
Garrido percaya tuan rumah pastinya tidak mahu perkara sama berulang apabila kedua-dua pasukan kembali bersemuka di Shanghai pada nanti.
Lantas, beliau mengharapkan barisan pemain B-23 kebangsaan menampilkan aksi lebih mantap termasuk mengurangkan kesilapan mudah di atas padang.
“Bila kita bermain sebanyak dua kali dengan pasukan yang sama, ini akan jadi sukar kerana kita tahu pasukan yang kita lawan sebelum ini. Jadi, fokus kita yang seterusnya ialah memperbaiki beberapa aspek yang bagus untuk pasukan kita.
“Kita akan lihat semula perlawanan, kita akan periksa semuanya seperti yang kita lakukan dan memperbaiki sedikit aspek serangan, lebih banyak masa dalam kotak penalti lawan.
“Secara keseluruhan, kita akan cuba jadi lebih mantap. Tapi saya fikir selepas menonton perlawanan dan rakaman video, kita akan tahu apa yang kita patut perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan pada 23 Disember lalu.
Dua aksi persahabatan dengan China ini merupakan sebahagian daripada persiapan Malaysia mendepani Piala Asia B-23 yang berlangsung pada April tahun hadapan.