Advertisement
Malaysia B-23 ‘Baham’ China B-23
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) mempamerkan aksi terpuji apabila berjaya menewaskan tuan rumah, skuad China B-23 1-0 di Stadium Pusat Sukan Jinshan, Shanghai hari ini.

Perlawanan persahabatan hari ini merupakan perlawanan pertama Juan Torres Garrido sebagai jurulatih Harimau Muda menggantikan E. Elavarasan.

Dengan rekod 14 kali kalah dan tiga kali seri dengan China, skuad B-23 negara berharap dapat meraih kemenangan sulung ke atas lawan dari Asia Timur itu.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha mencari gol pendahuluan untuk meraih kelebihan awal.

Serangan demi serangan cuba direncanakan tuan rumah tetapi berjaya dipatahkan barisan pertahanan Malaysia diketuai bek tengah Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar.

Serangan tuan rumah memaksa Malaysia B-23 melakukan percubaan jarak jauh tetapi tidak berhasil. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, permainan membabitkan kedua-dua pasukan semakin rancak.

China hampir mendahulu seawal minit ke-46 tetapi percubaan mereka berjaya ditepis penjaga gol B-23 negara, Azim Al Amin Kamaruddin.

Enam minit kemudian, Harith Haiqal melepaskan rembatan jarak jauh ke arah gawang tuan rumah tetapi berjaya ditangkap penjaga gol Huang Zihao.

Dengan kedua-dua pasukan masih buntu mencipta jaringan, beberapa pertukaran dibuat bagi memperkemaskan rentak permainan.

Akhirnya, gol yang dicari muncul pada minit ke-95 menerusi Harith Haiqal. Gol tersebut memastikan Malaysia meraih meraih kemenangan pertama ke atas China sejak tahun 1991.

Keputusan ini dilihat keputusan terpuji memandangkan ini perlawanan pertama Garrido sebagai pengendali Malaysia B-23. Kedua-dua pasukan bakal bertemu buat kali kedua di Shanghai pada 26 Disember ini.