Ini perbandingan ranking skuad Malaysia dan 3 lagi pencabar di peringkat kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Skuad wanita negara yang dikenali sebagai Malayan Tigress telah diundi di dalam kumpulan H untuk pusingan Kelayakan Piala Asia bersama 3 lagi pasukan Korea Utara, Palestin dan Tajikistan.
Di atas kertas, pasukan Korea Utara dilihat menjadi pencabar hebat buat Malayan Tigress oleh kerana skuad bimbingan Ri Yu-il ini bakal turun dengan status sebagai juara Asia 3 kali.
Berdasarkan ranking semasa pula, Korea Utara masih dilihat selaku pasukan pilihan di dalam kumpulan apabila menghuni ranking ke-9 dunia dan juga negara kedua Asia di belakang Jepun.
Manakala Malayan Tigress yang dibimbing oleh Joel Cornelli pula kini berada di tangga ke-102 dunia, suatu jurang besar antara pasukan wanita kebangsaan berbanding Korea Utara.
Palestin yang juga lawan pertama Malaysia tidak jauh berada di belakang apabila berada di kedudukan 134 dunia ketika ini yang juga ranking terbaik pasukan The Feedayeen sepanjang tahun ini.
Tuan rumah pusingan kelayakan bagi kumpulan H, Tajikistan kini di tangga ke-155 dunia, ranking terendah antara negara yang bersaing di sini namun bukan alasan untuk memandang rendah cabaran mereka.
Skuad Malayan Tigress bakal membuka tirai Kelayakan Piala Asia Wanita di Dushanbe pada 29 Jun dengan Palestin akan menjadi lawan pertama dengan sepak mula perlawanan jam 10 malam.
Selepas itu, pasukan wanita negara akan berdepan Tajikistan 3 hari kemudian sebelum menutup aksi menentang pasukan nombor dua Asia, Korea Utara pada 5 Julai hadapan.