Bintang pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 17 Tahun (B-17), Irfan Aswad Roslan terpilih menjalani sesi percubaan bersama kelab J1 League, Shonan Belmare.
Perkara ini diumumkan pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dalam satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.
Irfan yang juga kapten skuad AMD B-17 kini mengharungi sesi percubaan bersama kelab Jepun itu dari 28 Oktober hingga 11 November ini.
“Seorang pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) berumur 17 tahun, Muhamad Irfan Aswad Bin Roslan akan ke Jepun pada hari ini untuk menjalani latihan percubaan bersama kelab J1 League, Shonan Bellmare.
“Kelab Jepun tersebut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain muda ini dengan menjemput beliau ke latihan percubaan di kelab tersebut bermula pada 28 Oktober 2024 hingga 11 November 2024,” kata pengurusan program itu dalam satu kenyataan.
Sepanjang berada di Jepun, Irfan ditemani ketua jurulatih pasukan AMD B-17, Mohamad Kuizwan Mohd Johari.
Ini bukan kali pertama Irfan menjalani sesi percubaan dengan Bellmare. Sebelum ini, pemain pertahanan berusia 17 tahun itu bersama Aisy Al Hakim Hasnizam turut menjalani sesi percubaan dengan Bellmare selepas tamat aksi Sanix Cup 2024 pada Mac lalu.
Sekiranya proses percubaan yang dilaluinya berjalan lancar, Irfan berpeluang mengikut jejak beberapa pemain negara yang berkelana di luar negara terutama di Jepun.
Ketika ini, ada dua pemain Malaysia yang berkelana di Jepun iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Abu Khalil. Luqman beraksi untuk Yokohama Sports & Culture Club (Yokohama SCC) dengan Muhammad pula mewakili FC Osaka.