Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Dunia terkejut apabila pasukan gergasi Asia, Jepun memalukan Jerman dalam perlawanan pertama Kumpulan E Piala Dunia 2022 dua hari lepas. Tetapi ramai orang terlupa majoriti pemain yang beraksi dalam perlawanan tersebut beraksi di liga-liga Eropah termasuk Bundesliga. Atas sebab ini, penulis sukan Jonathan Harding menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kemenangan Bundesliga terhadap Jerman.

Lebih menarik, daripada lapan pemain Jepun yang beraksi di Bundesliga, tiga daripadanya menjadi pencetus dua gol Jepun dalam babak kedua. Penyerang Vfl Bochum, Takuma Asano mencipta gol penyamaan yang dijaringkan pemain sayap Freiburg, Ritsu Doan. Manakala pemain tengah Borussia Monchengladbach, Ko Itakura menghantar bola jauh yang disudahkan Asano menewaskan penjaga gol Manuel Neuer.

Dettmar Cramer La Isla del Futbol Piala Dunia: Bintang Bundesliga Jepun Punca Kekalahan Jerman
Dettmar Cramer. Gambar: La Isla del Futbol

Tetapi semua ini takkan terjadi terima kasih kepada arkitek bola sepak moden Jepun, Dettmar Cramer. Cramer tiba di Jepun sekitar awal 60-an di mana beliau bukan sekadar dilantik sebagai pengarah teknikal tetapi juga sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Negara Matahari Terbit.

Advertisements

Walaupun anak jati Dortmund itu meninggalkan Jepun pada 1 Januari 1964, impak bimbingannya melonjakkan kualiti bola sepak Jepun. Samurai Biru bukan saja berjaya mengalahkan Argentina di Sukan Olimpik Tokyo 1964 tetapi turut menggondol pingat gangsa dalam temasya sama di Mexico City empat tahun selepas itu.

Kualiti pemain Jepun ketika itu mendorong beberapa kelab Bundesliga berusaha mendapatkan mereka. Antara pemain Jepun pertama yang beraksi di Bundesliga ialah Yasuhiko Okudera (1. FC Koln) sekitar tahun 1978. Hal ini turut mendorong sesetengah pemain Jerman ketika itu seperti Pierre Littbarski dan Guido Buchwald menyertai Liga Jepun sekitar tahun 90-an.

Tetapi semuanya berubah apabila Piala Dunia 2002 diadakan di Jepun dan Korea Selatan. Pada ketika itu, hanya empat pemain Jepun yang beraksi di luar negara iaitu Hidetoshi Nakata (Parma), Junichi Inamoto (Arsenal), Shinji Ono (Feyenoord) dan Shunsuke Nakamura (Reggina). Sebaik dunia melihat kualiti pemain-pemain bimbingan Philippe Troussier, ia menukar Liga Jepun sebagai kilang bakat pemain untuk liga-liga Eropah termasuk Bundesliga.

Advertisements
Shinji Kagawa. Gambar: Manchester United

Sesetengah kemudiannya melakar pencapaian hebat bersama kelab masing-masing. Shinji Kagawa misalnya menjulang trofi Bundesliga sebanyak dua kali dengan Borussia Dortmund sebelum menjulang trofi EPL bersama Manchester United pada 2012/2013. Manakala Makoto Hasebe pula merekodkan 362 penampilan bersama Eintracht Frankfurt dan membantu SGE menang Liga Europa musim lepas.

Berdasarkan statistik, 39 pemain Jepun telah bermain di Bundesliga. Dan satu perkara yang lebih memalukan Jerman, Die Mannschaft seolah-olah tiada mentaliti berjuang habis-habisan – satu ciri yang menjadikan pasukan itu digeruni selama bertahun-tahun. Tetapi dalam perlawanan dua hari lepas, Samurai Biru yang menunjukkan kesungguhan sebegitu rupa – sikap yang dipelajari dari Bundesliga.

Dan ini diakui sendiri penyerang Vfb Stuttgart, Wataru Endo semasa ditemubual majalah Kicker. Dia berkata, “Bundesliga dipandang tinggi di Jepun. Bukan saja pemain-pemain Jepun tertarik untuk beraksi di Bundesliga, jurulatih-jurulatih Jepun juga turut melihat pasukan kebangsaan Jerman dan liga tersebut.”

Advertisements

Jika beberapa hari sebelumnya, Jepun hanya disangka penumpang dalam Kumpulan E. Tetapi jika semangat ini dikekalkan ditambah dengan kualiti pemain-pemain bimbingan jurulatih Hajime Moriyasu, tidak mustahil Samurai Biru boleh mara lebih jauh dalam Piala Dunia. Bagi Jerman pula, mereka hanya sedar kualiti Bundesliga selepas wisel penamat perlawanan dan itu pastinya membuatkan mereka tidak lagi memandang mudah lawan selepas ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram