Piala Dunia: Jepun Malukan Jerman
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Jepun mengikut jejak langkah Arab Saudi melakar kejutan ke atas pasukan-pasukan pilihan Piala Dunia. Kali ini, giliran Jerman yang menjadi mangsa Samurai Biru di mana Die Mannschaft tunduk 2-1 kepada Jepun dalam perlawanan pertama Kumpulan E Piala Dunia 2022.

Walaupun menduduki ranking ke-24 dunia, Jepun memulakan permainan tanpa rasa takut dan menekan barisan pertahanan Jerman diketuai Antonio Rudiger. Samurai Biru hampir di hadapan menerusi gol penyerang Celtic, Daizen Maeda pada minit ketujuh tetapi tidak dikira kerana ofsaid.

Die Mannschaft yang dibarisi pemain-pemain berkualiti seperti Ilkay Gundogan dan Thomas Muller cuba mendominasi Jepun. Jerman hampir membolosi gawang Samurai Biru pada minit ke-17 menerusi tandukan Rudiger tetapi tandukan bek tengah Real Madrid itu tersasar.

Advertisements

Benteng Jepun yang diterajui bekas bek tengah Southampton, Maya Yoshida terus diuji lagi. Kali ini menerusi percubaan Gundogan pada minit ke-29 selepas mendapat umpanan Serge Gnabry dan Muller yang saling bertukar hantaran. Bagaimanapun, sepakannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Shuichi Gonda.

Serangan bertali arus Jerman akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-31. Ini selepas Gonda menjatuhkan bek kiri RB Leipzig, David Raum dalam kotak penalti. Gundogan tenang menyempurnakan penalti seminit selepas itu bagi meletakkan Jerman di depan.

Die Mannschaft menyangka mereka telah menambah jaringan menerusi Kai Havertz pada minit ke-48 masa tambahan. Bagaimanapun, penyerang Chelsea itu hampa apabila golnya dibatalkan kerana ofsaid. Jepun juga hampir menyamakan kedudukan menerusi Maeda seminit selepas itu tetapi gagal dengan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Jerman yang dibimbing Hansi Flick mula memperkemas mutu permainan mereka. Pada minit ke-48, Gnabry mencemaskan pertahanan Samurai Biru dengan percubaan ke arah gol tetapi percubaannya liar dan terbang melepasi gawang Jepun.

Jepun yang memburu gol penyamaan membawa masuk pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma dan penyerang Vfl Bochum, Takuma Asano bagi menambah ketajaman barisan serangan. Tetapi Jerman hampir membolosi gawang Jepun buat kali kedua menerusi percubaan Gundogan pada minit ke-61 tetapi percubaannya terkena tiang.

Jepun hampir menyamakan kedudukan menerusi Hiroki Sakai selepas Manuel Neuer menafikan percubaan Asano pada minit ke-73. Bagaimanapun, sepakan bola muntahnya terbang ke langit sekaligus menghampakan para penyokong Jepun.

Advertisements

Bagaimanapun, kehampaan mereka tidak bertahan lama apabila Ritsu Doan menolak bola yang ditepis Neuer untuk gol penyamaan Samurai Biru beberapa minit selepas itu. Gol tersebut terhasil selepas Neuer gagal menampan kemas hantaran Mitoma dari sebelah kiri.

Penyokong Jepun semakin ceria apabila pasukan gergasi Asia itu mendahului Die Mannschaft menerusi Asano pada minit ke-83. Asano yang menerima hantaran jauh berjaya melepasi perangkap ofsaid dan mengatasi cabaran Niklas Sule sebelum tenang menewaskan Neuer. Jerman cuba bangkit tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Jepun mendahului Kumpulan E yang turut mengandungi Sepanyol dan Costa Rica. Jepun seterusnya bakal berdepan Costa Rica pada 27 November dengan Jerman bakal menentang Sepanyol pada awal pagi 28 November.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram