Piala Dunia: Arab Saudi Tewaskan Argentina, Messi Tergamam
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Argentina memulakan kempen dalam kumpulan C Piala Dunia 2022 dengan langkah kiri selepas diaibkan pasukan gergasi Asia, Arab Saudi 2-1 di Stadium Lusail, Lusail, Qatar.

Argentina membuktikan status mereka sebagai pasukan nombor tiga dunia dengan mendominasi perlawanan. Albiceleste terlebih dahulu menguji penjaga gol Saudi, Mohammed Al-Owais menerusi legenda mereka, Lionel Messi seawal minit kedua tetapi berjaya ditepis Al-Owais.

Argentina kemudiannya mendapat peluang mendahului selepas dianugerahkan sepakan penalti pada minit ketujuh. Ini selepas VAR mendapati pemain tengah Mohamed Kanno menarik pemain tengah PSG, Leandro Paredes jatuh semasa sepakan sudut diambil.

Advertisements

Messi mudah menewaskan Al-Owais menerusi sepakan leret pada minit ke-10. Gol tersebut turut menjadikannya sebagai penjaring gol kedua tertua Argentina dalam Piala Dunia di belakang legenda Boca Juniors, Martin Palermo.

Arab Saudi yang bermain menggunakan garis pertahanan yang tinggi dan perangkap ofsaid menyaksikan tiga gol lawan dibatalkan disebabkan ofsaid. Bagaimanapun, strategi tersebut mengakibatkan mereka sentiasa diuji oleh bahagian serangan Albiceleste. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Green Falcons bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi penyerang kelab Al-Hilal, Saleh Al-Shehri pada minit ke-47. Walaupun dikepung oleh dua bek tengah Nicolas Otamendi dan Cristian Romero, Al-Shehri melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Aston Villa Emiliano Martinez.

Advertisements

Beberapa minit selepas itu, Arab Saudi mengejutkan Albiceleste dengan mendahului pada minit ke-53. Kali ini, giliran Salem Al-Dawsari pula mencipta nama sebagai penjaring menerusi gol jarak jauh tepat ke penjuru atas gawang Argentina.

Argentina cuba bangkit tetapi benteng pertahanan Saudi diketuai Al-Owais kental menyerap tekanan barisan serangan lawan. Ini termasuk menafikan cubaan bek kiri Nicolas Tagliafico pada minit ke-64, sepakan jarak dekat Messi pada minit ke-84 dan tandukan Julian Alvarez pada masa tambahan. Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Dengan keputusan ini, Arab Saudi mendahului kumpulan C yang turut mengandungi Poland dan Mexico. Argentina bakal berdepan Mexico pada awal pagi 27 November. Sementara Green Falcons pula melayan Poland pada 26 November.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram