Bintang muda Jepun, Shimon Yoshinari bakal menjadi lawan Johan Ghazali seterusnya dalam saingan ONE Championship.
Sebelum ini, jaguh berusia 19 tahun itu memaklumkan bahawa lawan untuk pertarungan terbarunya sudah ditetapkan ONE Championship.
Meskipun tidak mendedahkan identiti Yoshinari, Johan memberi bayangan bahawa pertarungan itu bakal menjadi pertarungan terbesar dalam kariernya.
Kini, ONE Championship mengumumkan Yoshinari sebagai lawan terbaru Johan untuk ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Jepun pada 29 April ini.
Selepas perlawanan itu diumumkan, Johan kemudiannya menulis komen yang berbunyi, “Demi negaraku, Insya Allah.”
Yoshinari sudah memiliki rekod hebat 24-1 dalam gelanggang. Saingan ONE Championship turut menyaksikan beliau sudah merekodkan empat kemenangan dalam lima pertarungan.
Dua daripadanya menyaksikan Yoshinari diumumkan menerusi keputusan sebulat suara juri. Dua lagi kemenangan diraih menerusi TKO (keputusan techical knockout).
Pertarungan ini dilihat peluang buat Johan meneruskan rentak kemenangan untuk tahun 2026. Sebelum ini, beliau mengalahkan jaguh Myanmar, Ye Yint Naung.
Yoshinari yang mewakili A1 Sports Gym juga merupakan rakan sepasukan dan sepupu kepada juara Muay Thai kategori atomweight, Nadaka Yoshinari.
Selain Yoshinari, Nadaka juga akan bertarung dalam ONE Samurai 1 bagi mempertahankan gelaran juara kategori berkenaan. Beliau akan menentang jaguh Thailand, Songchainoi.