Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus memantapkan pasukan dengan membawa masuk kuartet pemain dari Korea Selatan.
Semalam, Kelantan mengumumkan perpindahan Kim Ri-gwan, Koo Ah-oe, Bae Kyung-hwan dan Jung Byung-ju di platform media sosial rasmi mereka.
Menurut Presiden KDN FC, Rozi Muhamad, kehadiran Ri-gwan dari kelab Daegu FC dijangka memperkukuh barisan pertahanan Kijang Emas.
Sementara Ah-oe, Kyung-hwan dan Byung-ju pula bakal menambah pilihan jurulatih untuk dua saingan iaitu Liga Super dan Piala MFL.
“Ri-Gwan Kim beraksi di pertahanan tengah. Dia berusia 20 tahun dan merupakan bakat muda dalam Liga Korea.
“Setelah menamatkan karier remaja B-18 Daegu FC, dia pantas diserap masuk ke skuad simpanan kelab divisyen 1 Korea tersebut.
“Tiga lagi pemain, juga usia yang masih muda tetapi memiliki karier yang sangat baik ketika pembentukan bakat bersama kelab di negara mereka.
“Ini adalah pengalaman pertama mereka beraksi di luar negara kecuali Ah-oe yang telah bermain dengan sistem bola sepak di Jepun sejak musim 2018.
“Pemilihan mereka juga dilakukan atas nasihat jurulatih yang dilantik sewaktu pihak kelab berada di Korea, bulan lalu,” katanya.
Kuartet Korea ini menyertai pemain import Palestin, Oday Kharoub sebagai tenaga import terbaru Kelantan untuk musim 2024-2025.