Bintang Liverpool, Diogo Jota Maut Kemalangan Jalan Raya
MakanBola
Liverpool FC

Pemain sayap Liverpool, Diogo Jota dilaporkan menjadi mangsa nahas kemalangan jalan raya.

Jota yang juga pemain kebangsaan Portugal terlibat dalam kemalangan di lebuh raya A52, berdekatan Palacios de Sanabria, Zamora, lapor media terkenal di Sepanyol, Marca.

Malah, bintang Liverpool berkenaan dilaporkan berada dalam kereta bersama adik lelakinya, Andre, ketika mana kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar di kawasan sama.

Laporan dari akhbar tempatan melaporkan bahawa adik lelaki Diogo Jota tersebut turut meninggal dunia dalam nahas yang berlaku sehingga mengejutkan seluruh peminat bola sepak dunia.

Jota bermain di posisi sayap kiri untuk Liverpool selepas menyertai kelab itu dari Wolves pada tahun 2020 dengan yuran perpindahan sebanyak £41 juta.

Lebih menyayat hati, Diogo Jota baru sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lalu bersama pasangan pilihannya, Rute Cardoso, dan mereka kini sudah pun memiliki 3 orang anak.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari kelab Liverpool FC.