Diogo Jota memastikan Liverpool meraih tiga mata berharga di Anfield dengan menewaskan musuh setempat, Everton.
The Reds memerlukan kemenangan untuk memulihkan kembali kelebihan 12 mata dengan pencabar terdekat, Arsenal. The Toffees pula mahu membantu David Moyes menamatkan meraih kemenangan ke atas Liverpool dalam percubaan ke-20.
Arne Slot menurunkan Caoimhin Kelleher selepas Alisson mengalami konkusi dalam tugasan antarabangsa bersama Brazil. Beto terus menjadi sandaran gol Everton.
Ibrahima Konate hampir meletakkan The Reds di hadapan seawal minit kedua. Malangnya, tandukan beliau melepasi palang gol Everton yang dikawal Jordan Pickford.
The Toffees menyangka mereka telah mendahului pada minit ke-20 menerusi Beto. Walau bagaimanapun, VAR membatalkan gol tersebut selepas penyerang Guinea-Bissau itu berada di kedudukan ofsaid.
13 minit kemudian, Beto terus menguji barisan pertahanan tuan rumah. Percubaan derasnya berjaya menewaskan Kelleher tetapi terkena tiang.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol pendahuluan sekaligus memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Reds terus memberi tekanan kepada The Toffees untuk memecah kebuntuan di Anfield.
Penyokong Liverpool ceria apabila Jota meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-57. Selepas menerima hantaran Luis Diaz, bekas penyerang Wolves itu melepaskan rembatan yang menewaskan Pickford.
Tersentak, Moyes memasukkan Iliman Ndiaye, Tim Iroegbunam, Armando Broja dan Ashley Young untuk mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, itu tidak cukup untuk membantu Everton meraih gol penyamaan. Ini memastikan tiga mata menjadi milik Liverpool pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Reds terus menerajui liga denga 73 mata. The Toffees pula kekal di tangga ke-15 dengan 34 mata.
Sofascore memilih Diaz sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.6. Beliau jauh meninggalkan kapten Liverpool, Virgil van Dijk yang meraih 7.9 mata.
Selepas ini, Liverpool bertandang ke Craven Cottage untuk menentang Fulham pada 6 April. Everton pula bersiap sedia melayan kunjungan Arsenal pada 5 April.