Bintang Venezuela Hampiri Perpindahan Ke Selangor
MakanBola
Malaga CF

Selepas Yohandry Orozco, seorang lagi bintang Venezuela bakal beraksi buat Selangor FC pada musim 2025/26.

Pemain yang dimaksudkan ialah Juan Pablo Anor atau Juanpi. Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Selangor semakin hampir memuktamadkan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu.

“Tonggak tengah antarabangsa Venezuela, Juan Pablo Anor atau Juanpi dikhabarkan hampir pasti untuk sertai Selangor FC bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/26.

“Pemain berusia 31 tahun itu memiliki 27 penampilan bersama skuad utama Venezuela,” katanya di X.

Juanpi pernah mewarnai saingan La Liga semasa beraksi untuk Malaga dari 2014 hingga 2018. Ini bermakna beliau juga pernah beraksi menentang dua legenda hebat, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Selain Malaga, beliau juga pernah beraksi untuk SD Huesca, Caracas FC, Panetolikos dan Volos NPS. Juanpu juga tidak asing di Asia kerana pernah beraksi untuk kelab Arab Saudi, Al-Ain selama dua musim.

Kehadiran Juanpi dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang Jordan, Ali Olwan dan Orozco.

Ini selepas Selangor memilih untuk tidak mengekalkan khidmat kedua-dua pemain itu untuk musim hadapan.

Selain Ali dan Orozco, pengurusan Merah Kuning turut memutuskan untuk melepaskan khidmat Ronnie Fernandez, Nikola Jambor dan kapten pasukan dari Singapura, Safwan Baharudin.