Bintang Vietnam Puji Kualiti Pemain Revolusi Harimau Malaya
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Pemain kacukan Vietnam menghamburkan pujian menggunung kepada kekuatan Malaysia.

Aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menyaksikan Harimau Malaya berjaya membenam cabaran Vietnam dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Persembahan hebat ini dibantu oleh kehadiran beberapa tonggak warisan baharu Harimau Malaya termasuklah dua jaringan masing-masing oleh Joao Figuiredo dan Rodrigo Holgado.

Kekuatan pertahanan negara yang ditunjangi oleh Fadundo Garces dan juga Jon Irazabal memastikan Malaysia tidak dibolosi sepanjang 90 minit permainan di laman sendiri.

Menerusi satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, penjaga gol warisan Vietnam, Nguyễn Filip akur dengan kekuatan skuad revolusi Harimau Malaya.

“Malaysia merupakan sebuah pasukan yang baik, mereka beraksi dengan begitu baik.

“Saya lihat keinginan tinggi mereka terutamanya dalam kalangan pemain baharu,” katanya kepada Zulhelmi.

Pemain berusia 32 tahun itu juga mengakui kehadiran beberapa muka baharu ini telah menambah kekuatan Harimau Malaya dan membawa kepada satu keputusan yang cukup memberangsangkan.

“Penyerang Malaysia masih berlari pada minit ke-88 untuk menekan pertahanan kami. Saya lihat kualiti pasukan ini (Malaysia) sangat tinggi dan inilah keputusannya, 4-0,” tambahnya. 

Malaysia kini mendahului carta Kumpulan F dengan 6 mata selain meraih tambahan +13.99 mata untuk melonjak ke tangga 126 dunia.