Bintang Warisan Muda Malaysia-Jerman Sertai Liga-M
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Saingan Liga-M musim baharu bakal menyaksikan kemunculan satu lagi wajah muda yang mencuri tumpuan apabila seorang bintang warisan Malaysia-Jerman bersedia membuka lembaran baharu dalam kariernya di pentas bola sepak tempatan.

Pemain yang dimaksudkan tersebut ialah Andreas Heimerl yang berusia 19 tahun. Heimerl sah menyertai Negeri Sembilan FC II selepas menandatangani kontrak untuk beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro. Kehadirannya dianggap sebagai satu langkah penting buat pasukan dalam usaha membina skuad yang lebih kompetitif.

Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook Negeri Sembilan Development Team dalam satu hantaran yang menyenaraikan nama Heimerl bersama barisan bakat muda lain yang bakal memperkuatkan pasukan.

Heimerl bukanlah nama asing dalam pembangunan bola sepak Eropah apabila pernah mewakili skuad Jerman bawah 16 tahun (B-16). Pengalaman beraksi di peringkat remaja di Jerman itu menjadi antara aset yang mampu membantu perkembangan kariernya.

Untuk rekod, penyertaan NSFC II dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini merupakan kali pertama buat pasukan tersebut beraksi dalam kancah amatur kebangsaan itu.

Hasil tinjauan MakanBola mendapati Heimerl turut memuat naik foto dirinya mengenakan jersi Negeri Sembilan menerusi laman Instagram miliknya, sekali gus mengesahkan kehadirannya di Malaysia bagi meneruskan langkah seterusnya dalam perkembangan karier bola sepak profesional.

Sebelum menyertai Sang Rusa, Heimerl terlebih dahulu menimba pengalaman di Switzerland apabila beraksi bersama beberapa kelab pembangunan di sana. Pendedahan dalam sistem bola sepak Eropah dijangka menjadi kelebihan buatnya apabila memulakan pengembaraan baharu di Malaysia.