Nama kapten Harimau Malaya, Dion Cools terus menjadi tumpuan para peminat di Thailand apabila berjaya membantu Buriram United menewaskan pencabar terdekat, BG Pathum.
Cools menjadi pilihan jurulatih Buriram, Osmar Loss untuk mengisi posisi pertahanan kanan manakala 3 tonggak utama Thailand, Supachai, Theerathon dan Sasalak turut tersenarai.
Aksi berlangsung sengit di antara Buriram dan BG Pathum sehingga menyaksikan tiada sebarang jaringan yang terhasil oleh kedua-dua pasukan dalam tempoh 70 minit permainan.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-73 apabila Chrigor meledak gol pertama buat Buriram hasil rembatan yang menewaskan Saranon Anuin di sudut kiri gawang BG Pathum.
Seminit kemudian, Osmar Loss mengubah corak taktikal di jentera serangan dengan membawa masuk tenaga baharu, Lucas Crispim bagi menggantikan tempat Chrigor di posisi sayap kanan.
Crispim tidak memerlukan masa yang lama untuk membawa impak dengan mencetak jaringan gol kedua untuk Buriram pada minit ke-77 setelah menyambar hantaran lintang oleh Dion Cools.
Cools yang datang membantu serangan berjaya melakukan hantaran lintang mencari Crispim sebelum penyerang Brazil itu menampan kemas menewaskan Anuin untuk gol kedua Buriram.
Di akhir perlawanan, Cools menerima penilaian tertinggi oleh laman Sofascore dengan nilai setinggi 7.9 apabila cemerlang melakukan satu assist selain memperoleh clean sheet untuk pasukan.
Untuk rekod, Cools yang juga tonggak Harimau Malaya telah mengumpul 2 gol dan 3 bantuan jaringan dalam saingan Thai League 1 musim ini selepas beraksi penuh dalam kesemua 15 aksi.
Kemenangan 2-0 ini membolehkan Buriram kekal unggul di tangga teratas Thai League 1 dengan 39 mata selepas 15 perlawanan, 9 mata di hadapan pencabar terdekat, Bangkok United.