Bojan Hodak bakal meninggalkan peranan sebagai ketua jurulatih Persib Bandung setelah membantu kelab itu mendominasi bola sepak Indonesia dalam tempoh tiga musim terakhir.
Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh pihak Persib Bandung menerusi satu kenyataan rasmi apabila Bojan Hodak tidak lagi akan memegang tugas sebagai ketua jurulatih pasukan.
Sebaliknya, pengendali berusia 54 tahun itu bakal menggalas tugas baharu sebagai Penasihat Teknikal Kumpulan Pemegang Saham untuk membantu meneruskan legasi kejayaan kelab pada masa akan datang.
Sepanjang berada di Bandung, Bojan Hodak berjaya membentuk Persib sebagai antara pasukan paling konsisten di Indonesia selain menghadiahkan pelbagai kejayaan buat kelab tersebut.
Dalam masa sama, Persib Bandung turut mengumumkan bahawa Igor Tolic akan dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih baharu untuk meneruskan kesinambungan projek dan kejayaan yang telah dibina sebelum ini.
Pihak kelab turut menyifatkan perubahan tersebut sebagai permulaan kepada semangat serta cabaran baharu buat pasukan menjelang musim akan datang.
Pengumuman itu pastinya menarik perhatian penyokong bola sepak Asia Tenggara memandangkan Bojan Hodak cukup dikenali di rantau ini hasil pengalamannya membimbing beberapa kelab termasuk di Malaysia dan Indonesia.