Pemain Borneo FC, Fajar Fathur akui teruja menjadi wakil Indonesia untuk beraksi di pentas antarabangsa, Shopee Cup 2024/2025.
Borneo yang muncul juara regular series Liga 1 Indonesia musim lalu akan membuat kemunculan sulung di pentas Asia Tenggara bersama satu lagi pasukan, PSM Makassar.
Menurut Fajar, rakan sepasukannya kini bersemangat bagi membuat penampilan pertama di kejohanan antarabangsa dan turun menentang wakil Singapura, Lion City Sailors di laman sendiri.
“Ini adalah kejohanan antarabangsa pertama buat saya dan rakan-rakan, sudah tentu kami sangat bersemangat dengan perlawanan esok,” komen bek kanan tersebut.
Tambah beliau ketika di sesi sidang media, motivasi para pemain kini di tahap terbaik setelah mencapai keputusan yang positif dalam dua aksi pertama liga domestik.
“Kami semua pemain sangat bersedia dan menambah keyakinan selepas mendapat keputusan baik dalam liga,” ujar Fajar kepada Borneo FC.
Borneo FC bakal melayani kunjungan Lion City Sailors di Stadium Batakan dalam aksi pertama kumpulan B Shopee Cup pada Khamis.
Kumpulan B turut dihuni wakil Malaysia, KL City yang akan berdepan Kaya FC-Iloilo dari Filipina manakala kekuatan Hanoi bakal diuji oleh jaguh Thailand, Buriram United.