Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac mendedahkan persiapan pasukan itu menentang Kaya FC-Iloilo banyak dibantu oleh penyerang import dari Filipina, Patrick Reichelt.
Kaya merupakan lawan pertama yang dihadapi The City Boys dalam saingan Kumpulan B Shopee Cup yang berlangsung pada 22 Ogos ini.
Penyerang berusia 36 tahun itu bukan asing dengan saingan liga Filipina. Ini kerana Reichelt pernah beraksi untuk dua kelab yang menjadi pesaing Kaya, Global FC dan Ceres-Negros (kini United City FC).
Malah, beliau cukup mengenali pemain-pemain Kaya kerana sama-sama beraksi dalam skuad kebangsaan Filipina. Maklumat yang diberi Reichelt dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Kuljanac untuk menghadapi Kaya.
“Sudah tentu, beliau (Reichelt) tahu tentang pemain-pemain (mereka). Beliau beraksi bersama mereka dalam pasukan kebangsaan Filipina. Beliau berikan saya beberapa maklumat yang cukup penting. Kita akan lihat macam mana,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan KL City-Kaya.
Meskipun beraksi di gelanggang sendiri, Kuljanac enggan memandang rendah cabaran anak buah Yu Hoshide itu. Ini kerana Kaya pernah beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24.
Justeru, jurulatih Croatia itu mahu The City Boys mempamerkan prestasi terbaik untuk mengutip tiga mata penuh dalam Kumpulan B.
“Saya lihat mereka berdisiplin dari segi taktikal. (Dari segi) pertandingan terutama bila mereka bertanding dalam Liga Juara-Juara AFC tahun lepas. Satu pasukan yang berdisiplin dari segi taktikal. Sekarang kita tahu siapa yang kita akan lawan,” ujarnya.
KL City berharap pengalaman bergelar finalis Piala AFC 2022 membantu pasukan itu bersaing di pentas Shopee Cup.