Dishanna Pillay Tonggak Penting Malaysia Harungi Kelayakan Piala Asia B-17
MakanBola
Srikandi Merdeka Cup

Nama Dishanna Nagarajan Pillay bakal menjadi sandaran utama skuad muda wanita Malaysia menjelang aksi Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada Oktober ini.

Bolakita melaporkan tonggak berusia 16 tahun itu merupakan antara bintang harapan Malayan Tigress B-17. Pasukan itu ketika ini giat menjalani persiapan sejak 15 September lalu.

Lebih menarik, kualiti pemain berdarah Malaysia-Kanada itu turut menarik perhatian pengendali baharu pasukan itu dari Jepun, Takayoshi Ishihara. Lantas, tidak hairanlah Dishanna menjadi sebahagian daripada 25 pemain yang dipanggil untuk kem ini.

Selepas menunjukkan kualiti bersama kelab Kanada,Vancouver United, kualiti Dishanna menjadi sandaran skuad Malayan Tigress B-17 sejak tahun 2025 lagi.

Kualiti pemain itu terserlah selepas membantu pasukan muda wanita negara beraksi dalam beberapa kejohanan utama termasuk Emerging Matildas 2025 di Sydney, Australia.

Beliau juga memiliki pengalaman membantu Malayan Tigress B-17 pada pusingan kelayakan. Dishanna tampil buat kali pertama dalam aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 pada Oktober tahun lalu di Dushanbe, Tajikistan.

Aksi konsistennya juga memberi impak kepada pasukan dan membantu Malayan Tigress B-17 meraih tempat ketiga Srikandi Merdeka Cup pada Ogos lalu.

Selepas memulakan karier di Kanada, Dishanna juga mencipta nama di Jepun selepas menyertai kelab Cerezo Osaka. Menariknya, kelab itu juga merupakan kelab kapten Harimau Malaya, Dion Cools.

Kudrat Dishanna dijangka ditagih Ishihara untuk aksi pertama kelayakan Kumpulan E apabila Malaysia menentang Syria di Stadium Selayang pada 5 Oktober ini.