Pemain Malaysia B-16, You Lim sekali lagi melakar nama selaku penjaring gol untuk membantu skuad Malayan Tigress meraih tempat ke-3 di Srikandi Merdeka Cup 2026
Malaysia turun dalam aksi penentuan tempat ke-3 Srikandi Merdeka Cup dengan misi untuk menebus kehampaan setelah tumbang di separuh akhir kepada Thailand dengan Jordan menjadi halangan buat skuad muda wanita negara.
Misi besar Malaysia tersebut berjaya dilaksanakan apabila anak-anak didik Fairuz Montana berjaya merakamkan kemenangan 4-0 ke atas Jordan hasil jaringan You Lim, Keishan Adeliena, Isabella Safiyya dan gol sendiri oleh pemain lawan.
Seawal minit pertama permainan, Malaysia berjaya memimpin aksi apabila pertahanan Jordan, Eman Muhannad tertolak bola ke dalam gawang sendiri sehingga menghadiahkan jaringan pembukaan kepada pasukan muda negara ini.
You Lim menggandakan kelebihan buat Malaysia B-16 dengan gol kedua pada minit ke-39 selepas gerakan lincahnya berhasil memperdayakan dua pemain Jordan sebelum melepaskan rembatan untuk gol kelapan beliau di kejohanan ini.
Ketua pasukan negara, Keisha Adeliena menambah jaringan buat Malaysia hasil tendangan penalti pada minit ke-50 sebelum pemain kacukan, Isabella Safiyya melengkapkan kemenangan 4-0 menerusi jaringan pada minit akhir permainan.
Kemenangan 4-0 ini sudah cukup buat Malaysia B-16 dinobatkan selaku pemenang tempat ke-3 kejohanan Srikandi Merdeka Cup 2026 di Kudus, Indonesia.