You Lim Layak Wakili 3 Negara Termasuk Malaysia
MakanBola
Srikandi Merdeka Cup

Bintang muda Malaysia, You Lim membongkarkan susur galur keturunan keluarganya yang melayakkannya mewakili 3 buah negara.

Nama You Lim ketika ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila penyerang berusia 14 tahun itu menjaringkan 7 gol dalam sebuah perlawanan ketika Malaysia B-16 turun berdepan Arab Saudi pada Selasa lalu.

Tujuh jaringan peribadi yang dilakar oleh You Lim membantu Malaysia B-16 menewaskan Arab Saudi 9-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A Srikandi Merdeka Cup 2026 untuk melangkah gagah ke pusingan separuh akhir.

Kehadiran You Lim sebelum ini menjadi persoalan dalam kalangan peminat apabila ada di antara mereka yang baru mengenali tonggak akademi XF B-14 di Amerika Syarikat ini sehingga beliau layak menyarung jersi pasukan negara.

Menerusi satu temu bual, You Lim mendedahkan bahawa beliau dilahirkan di Taiwan dengan kedua-dua ibu bapanya berasal daripada Johor, sebelum mereka sekeluarga memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat ketikanya masih kecil.

“Saya dilahirkan di Taiwan dan ketika saya berusia sekitar 8 bulan, keluarga saya berpindah ke Amerika Syarikat (US). Ibu dan ayah saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Mereka dilahirkan di Johor,” jelas You Lim kepada pihak media.

Penjelasan ringkas tentang biodatanya itu menyaksikan You Lim ketika ini memiliki kelayakan untuk mewakili 3 buah negara iaitu Malaysia, Taiwan sebagai negara kelahirannya dan USA selaku tempatnya membesar selama 14 tahun ini.

Bercakap tentang peluang mewakili negara, You Lim akui terdapat sedikit halangan dari segi komunikasi pada awalnya, namun beliau tetap gembira dan bersyukur memperoleh pengalaman berharga bersama rakan sepasukan di kem Malaysia.

“Saya amat bersyukur dengan pengalaman ini. Pada awalnya sedikit sukar kerana terdapat halangan dari segi bahasa. Saya tak begitu fasih berbahasa Melayu.”

“Akan tetapi saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan melalui pengalaman ini bersama mereka,” tambah pemain muda itu lagi.

Lawan seterusnya menanti You Lim dan Malaysia B-16 selepas ini adalah Thailand dalam perlawanan separuh akhir Srikandi Merdeka Cup pada 21 Ogos 2026.