KL City FC bakal memanfaatkan pengalaman beraksi di pentas Piala AFC 2022 untuk membantu pasukan itu mendepani cabaran Shopee Cup.
Sebelum ini, ramai peminat bola sepak negara mengetahui reputasi KL City yang berjaya mara ke peringkat final kejohanan dalam tempoh tiga tahun. Final yang dimaksudkan ialah final Piala Malaysia 2021, final Piala AFC 2022 dan final Piala FA 2023.
Dalam tiga aksi final berkenaan, The City Boys merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2021. Sementara dua lagi aksi final menyaksikan KL City yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.
Pentas Piala AFC 2022 menyaksikan KL City mengatasi cabaran PSM Makassar dan Tampines Rovers di peringkat kumpulan. Ini disusuli dengan kejayaan mengalahkan wakil Vietnam, Viettel di peringkat separuh akhir zon.
Final zon kembali menemukan Juku Eja dan The City Boys yang berkesudahan dengan kemenangan 5-2 buat pasukan Lembah Klang itu.
KL City yang diketuai Paulo Josue terus cemerlang dengan menyingkirkan Mohun Bagan dan Sogdiana Jizzakh di peringkat separuh akhir dan akhir playoff antara zon.
Walau bagaimanapun, hajat The City Boys mengikut jejak Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menjulang trofi Piala AFC tidak kesampaian. Ini selepas pasukan itu tewas kepada Al-Seeb di pentas final.
Menariknya, ramai pemain yang pernah beraksi dalam kempen Piala AFC 2022 masih bersama KL City. Selain Josue, Azri Ghani, Haqimi Azim, Declan dan Ryan Lambert, Giancarlo Gallifuoco, Anwar Ibrahim, Kamal Azizi dan Kenny Pallraj turut bersama dalam skuad berkenaan.
The City Boys dipilih beraksi dalam Shopee Cup disebabkan status sebagai finalis Piala FA 2023. Mereka akan berentap dalam Kumpulan B bersama Buriram United, Hanoi Police, Borneo FC, Kaya FC-Iloilo dan Lion City Sailors.
Mereka akan berentap dengan wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo untuk aksi pertama kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Ogos ini.