Borussia Dortmund meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan kedua jelajah Asia mereka selepas membenam cabaran JDT 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.
Sebaik sepak mula, Der BVB mengasak anak-anak buah Hector Bidoglio. Seawal minit kedua, penjaga gol dan kapten Harimau Selatan Farizal Marlias dipaksa bekerja keras menafikan percubaan penyerang Belanda Donyell Mallen. Bagaimanapun, gawang JDT bolos juga apabila bola Mallen yang ditepis Farizal pada minit ke-11 mudah disepak masuk Justin Njinmah untuk gol pertama pelawat.
Mallen terus menjadi duri dalam daging kepada pasukan tuan rumah. Kelincahannya membuli pertahanan Harimau Selatan hampir membawa kepada gol kedua Dortmund menerusi hantarannya pada minit ke-15. Tetapi hantarannya gagal sampai kepada Goktan Gurmuz dan JDT terselamat daripada dibolosi.
Mallen yang mencatat hatrik semasa perlawanan pertama jelajah menentang Lion City Sailors terus mencemaskan benteng tuan rumah menerusi percubaan ke arah Farizal pada minit ke-25. Bagaimanapun, percubaannya tersasar melepasi gol JDT. Harimau Selatan kemudiannya diuji dengan dua percubaan berturut-turut Jayden Braaf pada minit ke-27 dan ke-28 tetapi gagal menepati sasaran.
Kesungguhan Mallen akhirnya membuahkan hasil menerusi satu sepakan kencang yang menewaskan Farizal pada minit ke-31. Belum sempat Harimau Selatan menarik nafas, giliran Marco Pasalic pula menguji kecekapan penjaga gol kebangsaan seminit selepas itu. Bagaimanapun, JDT bernasib baik apabila bola yang ditepis Farizal berjaya dikawal pertahanan sebelum ditangkapnya.
Harimau Selatan kemudian membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Safiq Rahim menggantikan Afiq Fazail. Ini selepas Afiq terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas berlanggar dengan bekas pemain Liverpool, Emre Can. Beberapa minit selepas itu, Mallen sekali lagi membuat larian ke kotak penalti JDT tetapi percubaannya berjaya disekat oleh Farizal dan bek tengah Feroz Baharudin.
JDT merapatkan jurang menerusi Arif Aiman Hanapi pada minit ke-41. Kesilapan Braaf memberi bola kepada bek kiri Nico Schulz menyebabkan pemain sayap Harimau Selatan itu melakukan larian solo sebelum membuat percubaan menewaskan penjaga gol Alexander Meyer.
Gol tersebut menyuntik semangat tuan rumah memburu gol penyamaan. Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva meledakkan satu sepakan percuma ke arah gawang Der BVB tetapi percubaannya langsung tidak mencemaskan Meyer. Kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain dengan JDT memasukkan Akhyar Rashid menggantikan Bergson. Walaupun Der BVB membuat lapan pertukaran pemain, ia sedikit pun tidak menjejaskan kelancaran permainan anak-anak buah Edin Terzic.
Bagaimanapun, Harimau Selatan menguji keutuhan kubu Dortmund menerusi sepakan sudut Safiq pada minit ke-53. Tetapi pertahanan Der BVB berjaya mengeluarkannya sebelum ia sempat ditanduk oleh tiga pemain JDT termasuk Feroz dan Jordi Amat. Beberapa minit selepas itu, sepakan percuma bekas kapten Selangor itu gagal ditanduk kemas penyerang JDT, Syafiq Ahmad ke arah gawang Dortmund.
Kegagalan Harimau Selatan memanfaatkan peluang yang terhidang dihukum pasukan pelawat. Kali ini, giliran Ole Pohlmann mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-60. Selepas menerima hantaran Moritz Broschinski dari luar kotak penalti, Pohlmann bijak mengatasi cabaran Shahrul Saad sebelum mengangkat bola melepasi Farizal ke arah gol JDT.
JDT hampir menambah gol kedua menerusi Arif Aiman beberapa minit selepas itu tetapi percubaan derasnya tersasar. Sementara percubaan Akhyar Rashid yang hanya perlu menewaskan Meyer pada minit ke-63 menyaksikan bola terbang melepasi gol pasukan pelawat. Sebaliknya, pelawat menambah lagi gol menerusi Samuel Bamba pada minit ke-68.
Aksi JDT-Dortmund semakin panas terutama apabila berlakunya kekasaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan. Insiden pertama menyaksikan terjahan keras Feroz terhadap Guille Bueno pada minit ke-75 mengundang rasa tidak puas hati pasukan pelawat. Beberapa minit selepas itu, pemain-pemain JDT pula marah selepas Salih Ozcan didapati menolak Nazmi Faiz Mansor.
Akhyar sekali lagi menguji gawang Dortmund pada minit ke-81 tetapi percubaannya sekali lagi terbang tidak mengenai gol. Seminit selepas itu, Moussa Sidibe pula menguji Meyer tetapi sepakannya berjaya ditepis penjaga gol Der BVB itu.
Can Heyri Ozcan menguji pula Farizal sekitar minit ke-83 tetapi berjaya ditepis kapten JDT itu. Ia membawa kepada serangan balas Harimau Selatan menerusi larian Sidibe tetapi ia berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Der BVB. Arif Aiman terus menguji pertahanan Dortmund menerusi pelbagai gerakan cantik tetapi berjaya disekat sebelum bola sampai kepada Meyer.
Dortmund terus mengancam kubu JDT walaupun perlawanan telah memasuki minit-minit akhir. Percubaan terbaik mereka datang menerusi Broschinski pada minit ke-92 tetapi berjaya disekat penjaga gol kebangsaan itu sebelum melintasi garisan gol Harimau Selatan. Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Walaupun JDT mengalami kekalahan di tangan Der BVB, ia tidaklah seteruk keputusan perlawanan sebelumnya yang menyaksikan Harimau Selatan dibenam 6-1 beberapa tahun lepas. Ini menunjukkan kemajuan JDT sebagai pasukan gergasi negara dan di peringkat Asia serta boleh bersaing dengan pasukan elit setaraf Dortmund.
Der BVB bakal menamatkan jelajah Asia mereka menerusi perlawanan persahabatan ketiga menentang Vietnam. Perlawanan bakal diadakan pada 30 November ini di Stadium Negara My Dinh.