Perlawanan playoff pertama Kelayakan Piala Asia 2027 menyaksikan Brunei mencatat kemenangan bergaya di laman sendiri ke atas Macau.
Brunei di ranking ke-190 dunia dipaksa beraksi di pusingan playoff setelah dibelasah Indonesia dengan agregat 0-12 sementara Macau pula tumbang 1-5 di tangan Myanmar.
Kesebelasan utama Macau dianggotai oleh Nuno Pereira dan Ng Wa Keng di jentera tengah manakala Brunei turun dengan formasi 3-4-3 dan mengharapkan bisa Hakeme Yazid.
Aksi berlangsung seimbang di awal permainan dengan tuan rumah lebih banyak merancang serangan memaksa Macau lebih banyak bertahan sepanjang 20 minit pertama.
Kebuntuan jaringan terlerai menerusi percubaan susulan Hakeme Yazid setelah tandukan awalnya ditepis Man Fai Ho bagi meletakkan Brunei di hadapan di minit ke-32.
Separuh masa pertama tamat, Brunei 1-0 Macau.
Kembali dari rehat, Sang Tebuan terus mengganas dengan meledak dua gol dalam tempoh lima minit hasil penyudah Nazry Aiman dan Hariz Herman pada minit ke-56 dan 61.
Aksi di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah berakhir dengan kemenangan 3-0 buat Brunei.
Perlawanan timbal balik bakal berlangsung pada Selasa, 10 September di Estadio Campo Desportivo tepat jam 7.30 malam waktu tempatan.