Brunei DPMM Bakal ‘Sambar’ Sergio Aguero
MakanBola
MFL

Pendatang baru Liga Super, Brunei DPMM FC terus memperkuat pasukan itu dengan membawa masuk pemain tengah kebangsaan, Sergio Aguero.

Perpindahan pemain berusia 31 tahun itu diumumkan pengurusan DPMM di platform rasmi mereka.

Perpindahan ini sekaligus menjawab teka-teki tentang destinasi Aguero selepas tidak lagi bersama Sri Pahang FC. Sebelum ini, pemain tengah Harimau Malaya itu dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

“DPMM FC bakal membawa masuk pemain naturalisasi Malaysia, Sergio Aguero dari Sri Pahang FC. Beliau sudah merekodkan 17 penampilan untuk skuad kebangsaan.

“Beliau juga terpilih beraksi untuk ASEAN All-Stars baru-baru ini dengan Manchester United sebagai kapten pasukan bersama Amani Aguinaldo yang juga bakal menyertai DPMM untuk musim depan,” kata pengurusan DPMM dalam satu kenyataan.

Selepas DPMM sah menyertai Liga Super sehingga 2028, kelab itu rancak mendapatkan pemain baru untuk musim 2025/26.

Sebelum ini, DPMM berjaya memuktamadkan perjanjian untuk membawa masuk Ramadhan Sananta dan Fairuz Zakaria.

Aguero bukan satu-satunya muka baru yang berjaya disambar DPMM. Pasukan itu turut berjaya mendapatkan bekas bek kiri Perak FC, Tommy Mawat Bada dan bekas bek tengah Rayong, Amani Aguinaldo.