Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD) memberi penjelasan mengenai dakwaan tiga orang pemain kebangsaan mereka berada di sebuah kelab hiburan yang berlaku di Russia.
Beberapa hari lalu, tular sebuah video di laman X mendakwa pemain kebangsaan Brunei kelihatan berada di sebuah kelab hiburan yang berada di Krasnodar.
Menerusi satu kenyataan, FABD menjelaskan bahawa video tersebut merupakan hasil suntingan bagi mencipta naratif jahat terhadap para pemain kebangsaan Brunei.
“Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) ingin menjelaskan mengenai penyebaran video tular yang melibatkan tiga pemain bolasepak kebangsaan,” jelas pihak persatuan.
“Berdasarkan siasatan dengan semua pihak yang terlibat, FABD mendapati bahawa video ini telah disunting untuk mencipta naratif yang mengelirukan, yang dikenali sebagai plot twist.”
“FABD menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini lagi.”
“Penyebaran kandungan yang mengelirukan bukan sahaja merosakkan reputasi pemain yang terlibat, tetapi juga menjejaskan integriti pasukan kebangsaan dan negara kita.”
“FABD menghargai sokongan dan pemahaman orang ramai dalam perkara ini. FABD tetap komited untuk mengekalkan standard profesionalisme dan integriti tinggi dalam komuniti bolasepak kita.”
Pasukan kebangsaan Brunei ketika itu berada di Krasnodar, Russia bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu negara di ranking ke-34 dunia pada Jumaat lalu.
Dalam aksi tersebut, Brunei terpaksa akur menjadi mangsa belasahan apabila tumpas 0-11 di tangan Russia dengan 10 pemain berbeza mengukir nama sebagai penjaring.