Perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Jumaat menyaksikan pasukan Russia tidak berdepan masalah untuk membelasah Brunei di laman sendiri.
Setelah tampil garang membenam Vietnam pada September lalu, kini giliran Brunei pula menjadi lawan seterusnya Russia dengan wakil Asia Tenggara itu tewas di tangan Timor Leste sebelum ini.
Pengendali Russia, Valery Kirpin menurunkan gandingan Ivan Oblyakov serta Fedor Chalov di jentera serangan sementara pemain sayap lincah, Azwan Ali diberi peranan selaku kapten Brunei.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Brunei apabila Ivan Oblyakov dengan pantas mencipta nama sebagai penjaring seawal minit pertama permainan.
Lima minit kemudian, Russia terus menggandakan kelebihan dengan jaringan kedua hasil kesilapan pemain Brunei, Ikhwan Othman yang tertampan bola ke gawang sendiri.
Pintu gol Brunei bocor buat kali ketiga kurang dari tempoh 10 minit permainan apabila bek tengah Russia, Evgeniy Morozov merembat kencang bola berpunca dari sepakan sudut.
Ivan Oblyakov sekali lagi muncul wira Russia dengan jaringan kedua peribadi setelah memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Brunei ketika aksi memasuki minit ke-29.
Separuh masa pertama tamat, Russia 4-0 Brunei.
Kembali dari rehat, giliran Lechi Sadulaev meledak gol kelima buat Russia pada minit ke-48 sebelum pemain tengah, Nikita Krivtsov menjadikan keputusan 6-0 sepuluh minit berselang.
Penyerang gantian, Tamerlan Musaev serta Andrey Mostovoy tampil cemerlang membolosi penjaga gol Brunei, Jefri Syafiq pada minit ke-63 dan 67 hasil tandukan dan percubaan jarak jauh.
Malam gemilang buat Russia ditutup dengan 3 lagi jaringan tambahan hasil penyudah oleh Aleksandr Chernikov, Aleksey Batrakov dan Arsen Adamov untuk Brunei pulang hampa.
Aksi di Stadium Krasnodar berakhir dengan keputusan 11-0 memihak Russia.