Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui bukan mudah untuk menjaringkan gol di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Aksi tertangguh membabitkan Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya dilangsungkan di SSI pada 10 November lalu. Hatrik Bergson da Silva dan dua gol Romel Morales memastikan kemenangan 5-0 JDT.
Perak berpeluang merekodkan jaringan apabila bek tengah Harimau Malaya, Feroz Baharudin dikesan melakukan terjahan tinggi ke atas penyerang Brazil, Clayton dalam kotak penalti.
Walau bagaimanapun, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali tidak memberikan penalti kepada The Bos Gaurus selepas merujuk insiden tersebut dengan VAR.
Yusri mengakui beliau tertanya-tanya mengapa pasukannya tidak mendapat penalti dalam aksi berkenaan. Pada masa sama, itu tidak menafikan fakta bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk mencetak gol di SSI.
“Manusia buat kesilapan, kena ingat itu. Manusia melakukan kesilapan terutama pengadil. Kita memaafkan dia tetapi kita tertanya-tanya dengan keadaan mengapa kita tidak mendapat (penalti).
“Dan mungkin juga sentuhan yang cuba dilakukan pemain saya untuk mendapatkan jaringan. Saya tak berapa jelas kedudukan Clayton dan Feroz , saya tak berapa jelas tentang keadaan itu.
“Jadi, saya tak berani untuk mengatakan sesuatu. Walau bagaimanapun, memang sukar untuk menjaringkan gol di SSI,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan yang disiarkan di TBG TV.
Perak kini menunggu siapa lawan yang bakal dihadapi mereka dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25. Cabutan undi kejohanan bakal diadakan pada 11 November ini.
Sementara aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 bakal membuka tirainya pada 20 November ini.