Advertisement
Bukan Rezeki Rahadiazli
Harimau Malaya
MakanBola
Terengganu FC

Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim masih belum berpeluang menambah satu penampilan antarabangsa buat Harimau Malaya.

Sebelum ini, nama penjaga gol berusia 23 tahun itu berada dalam senarai 26 pemain skuad senior Malaysia untuk Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.

Selain Rahadiazli, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente turut memanggil penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli.

Panggilan ini hadir pada masa yang tepat kerana beliau kembali menggalas peranan sebagai penjaga gol utama Terengganu. Rahadiazli sudah merekodkan empat penampilan dan kekal tanpa bolos sebanyak dua kali.

Walau bagaimanapun, nama penjaga gol Peteh itu terpaksa digugurkan menjelang kejohanan kerana masalah kesihatan. Susulan itu, Pau Marti memanggil penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Haziq Aiman Mohd Esa sebagai pengganti.

Keputusan ini menyebabkan Rahadiazli terlepas peluang menambah satu penampilan bersama Harimau Malaya. Penampilan itu direkodkan dalam aksi PMEA 2022 menentang Laos.

Rahadiazli bukan satu-satunya pemain yang terpaksa disisihkan Pau Marti. Selain beliau, jurulatih Sepanyol itu terpaksa menggugurkan bek tengah Negeri Sembilan FC, Harith Samsuri.

Harith terpaksa digugurkan selepas mengalami kecederaan dalam aksi Piala Malaysia menentang PDRM FC pada 29 November lalu. Hal ini menyebabkan bek tengah Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar dipanggil sebagai pengganti.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Pau Marti turut memanggil Haykal Danish Mohd Haizon sebagai pemain sokongan dalam skuad Harimau Malaya kali ini.

Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan A PMEA 2024 dengan menentang Kemboja pada 8 Disember ini.