Kelab Thailand, Buriram United bakal menghadapi cabaran suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tanpa dua tonggak utama.
Wartawan sukan Thailand, Ta Lao memaklumkan Thunder Castle terbang ke Arab Saudi tanpa Theerathon Bunmathan dan Suphanat Mueanta.
Ketiadaan Suphanat memberi tamparan hebat kepada jurulatih Buriram, Osmar Loss Vieira. Ini kerana selepas beliau kembali menyertai Thunder Castle dari OH Leuven, Suphanat kerap menjaringkan gol penting buat kelab Thailand itu.
Beliau telah merekodkan 20 penampilan, 11 gol dan tujuh bantuan gol buat Buriram. Ini termasuk gol kemenangan ketika aksi kedua pusingan 16 ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 Mac lalu.
Vieira dijangka menggunakan Guilherme Bissoli, Supachai Chaided, Lucas Crispim atau Seksan Ratree sebagai pengganti Suphanat.
Selain pemain sayap berusia 22 tahun itu, Theerathon juga terpaksa melupakan aksi suku akhir ACLE. Meskipun beliau sudah selesai menjalani penggantungan perlawanan, Theerathon kini berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut yang serius.
Kecederaan itu dialami dalam aksi Shopee Cup menentang KL City FC pada 6 Februari lalu. Theerathon tidak dapat meneruskan perlawanan selepas bertembung dengan Giancarlo Gallifuoco.
Sejak itu, bekas pemain kebangsaan Thailand itu fokus menjalani proses pemulihan bagi menghadapi musim 2025/26.
Buriram dijadual bertemu dengan kelab Arab Saudi, Al-Ahli di peringkat suku akhir pada 27 April ini.