Buriram United bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tanpa Theerathon Bunmathan.
Sebelum ini, kapten Thunder Castle itu perlu menjalani penggantungan tiga perlawanan ACLE yang dijatuhkan Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ini selepas tindakannya meraba pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dalam aksi Liga Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 3 Disember lalu.
Susulan itu, Theerathon bukan saja terlepas dua aksi terakhir Liga Timur ACLE menentang Ulsan HD dan Gwangju FC.
Malah, pemain berusia 35 tahun itu perlu menjalani penggantungan aksi pertama pusingan 16 ACLE membabitkan Buriram.
Hasrat pengendali Thunder Castle, Osmar Loss Vieira untuk menggunakan Theerathon untuk aksi kedua pusingan 16 ACLE musnah.
Ini selepas bekas bintang Yokohama F. Marinos itu mengalami kecederaan ligamen dalam aksi Shopee Cup menentang KL City FC pada 6 Februari lalu.
Theerathon tidak dapat meneruskan permainan apabila berlanggar dengan bek tengah The City Boys, Giancarlo Gallifuoco. Kecederaan itu menyebabkan beliau berpotensi berehat panjang sehingga akhir musim ini.
Ketiadaan Theerathon dalam aksi ini dijangka mendorong Vieira memilih sama ada Sasalak Haiprakorn atau Narubadin Weerawatnodom sebagai kapten untuk aksi menentang JDT.