CAFA Nations Cup: Malaysia Bakal Berdepan Cabaran Iran
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Malaysia akan berdepan pasukan Piala Dunia, Iran sebagai salah satu lawan di CAFA Nations Cup 2025.

Pada sesi undian yang berlangsung pada Khamis, Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski berada di dalam balang 4 bersama Oman selaku pasukan jemputan di CAFA Nations Cup.

Di akhir sesi menyaksikan skuad kebangsaan diundi di dalam kumpulan B bersama-sama Afghanistan, Iran dan Tajikistan dengan Dushanbe bakal menjadi lokasi untuk aksi kumpulan ini.

Sementara bagi kumpulan A pula terdiri daripada Uzbekistan yang akan beraksi sebagai pasukan tuan rumah dan disertai oleh Kyrgyzstan, Turkmenistan serta negara jemputan Oman.

Juara setiap kumpulan akan beraksi di perlawanan akhir pada 8 September di Tashkent sementara dua naib juara kumpulan bakal bertemu di aksi penentuan tempat ketiga di Dushanbe.

CAFA Nations Cup bakal berlangsung bermula pada 29 Ogos sehingga 8 September hadapan di Uzbekistan dan Tajikistan selain disertai oleh 8 negara Asia termasuk pasukan negara.

Edisi sulung CAFA Nations Cup pada 2023 lalu menyaksikan Iran dinobatkan sebagai juara setelah mengatasi Uzbekistan 1-0 di perlawanan akhir manakala Oman dan Kyrgyzstan pula di tempat ke-3 dan keempat.