Skuad Harimau Malaya sah bakal terbang ke rantau Asia Tengah bagi mengambil bahagian dalam kejohanan CAFA Nations Cup 2025.
Pihak Malaysia National Team menerusi sebuah hantaran di media sosial mengumumkan penyertaan pasukan Harimau Malaya untuk ke CAFA Nations Cup yang akan berlangsung pada September ini.
“Pasukan Harimau Malaya akan menghadapi cabaran baharu apabila menyertai CAFA Nations Cup 2025, kejohanan yang menghimpunkan 8 pasukan ternama termasuk Iran dan Uzbekistan,” umum Malaysia NT.
“Penyertaan ini bukan sahaja satu penghormatan, malah membuka peluang untuk merealisasikan impian yang lebih besar di pentas antarabangsa.”
Menurut jurulatih negara, Peter Cklamovski, kehadiran skuad Harimau Malaya ke kejohanan ini bakal memberikan cabaran dan pengalaman baharu yang berbeza dalam pembangunan pasukan kebangsaan.
“Kami berbangga untuk menyertai Kejohanan CAFA 2025. Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat.
“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.
“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong, dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia.”
CAFA Nations Cup bakal bermula pada 26 Ogos sehingga 9 September dengan Kyrgyzstan dan Uzbekistan telah dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan yang memasuki edisi kedua ini.
Antara pasukam yang sudah pun mengesahkan penyertaan adalah Afghanistan, Iran, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Turkmenistan selain Oman yang juga pasukan jemputan.