Berita mengejutkan yang diterima bakal memberikan peluang kepada skuad Harimau Malaya bertemu pasukan Piala Dunia tidak lama lagi.
Pada Rabu, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan laporan oleh wartawan, Thomas Bullock yang mendedahkan bahawa Malaysia bakal sertai CAFA Nations Cup pada Ogos ini.
Selain Malaysia, Oman turut menjadi negara jemputan untuk menyertai kejohanan rantau Asia Tengah tersebut yang akan diadakan di Uzbekistan dan Kyrgyzstan selaku tuan rumah.
Malaysia dan Oman dijangka melengkapkan senarai pasukan bertanding bersama 6 buah lagi negara Asia Tengah seperti Afghanistan, Iran, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan beserta Turkmenistan.
Andai benar, maka ini merupakan peluang terbaik buat skuad Harimau Malaya menguji kekuatan menentang pasukan lebih mencabar yang mampu memberikan saingan berbeza untuk pemain negara.
Malah, skuad kendalian Peter Cklamovski ini juga berpotensi untuk bertemu dua wakil Asia di pentas Piala Dunia iaitu Iran dan Uzbekistan yang mengesahkan tiket mereka baru-baru ini.
Sehingga kini, peminat masih menanti sebarang kenyataan rasmi daripada pihak penganjur dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai penyertaan Harimau Malaya ini.