Sebanyak 6 buah negara dari benua Asia telah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 menerusi pusingan ke-3 kelayakan.
Aksi pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia 2026 sedang giat berlangsung ketika ini membabitkan 18 buah negara di Asia yang dibahagikan kepada 3 kumpulan dan terdiri daripada 6 pasukan.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan ini bakal layak ke pentas Piala Dunia 2026 secara automatik manakala negara di tempat ke-3 dan ke-4 akan bersaing lagi di pusingan yang seterusnya.
Hari perlawanan ke-9 pada minggu ini menyaksikan kesemua 6 negara yang berjaya layak ke Piala Dunia akhirnya diketahui walaupun masih berbaki satu lagi aksi di peringkat kumpulan.
Gergasi Asia, Iran muncul sebagai juara kumpulan A apabila mengumpul 20 mata daripada 9 perlawanan dan diikuti oleh Uzbekistan yang mencipta sejarah mara ke Piala Dunia buat kali pertama.
Untuk saingan kumpulan B, Korea Selatan menepati ramalan dengan bergelar juara kumpulan manakala Jordan yang juga naib juara akan beraksi di pentas Piala Dunia buat julung kali.
Dua negara pilihan iaitu Jepun dan Australia berjaya melepasi peringkat kumpulan C dan sekaligus melengkapkan senarai 6 pasukan Asia ke Piala Dunia menerusi slot di pusingan ke-3.
Kini, slot Piala Dunia yang ditetapkan untuk benua Asia hanya berbaki 2 + 1 khas buat dua juara kumpulan di pusingan ke-4 nanti yang membabitkan 6 pasukan di tangga ke-3 dan ke-4 sebelum ini.
Satu lagi slot pula menyaksikan dua naib juara kumpulan di pusingan ke-4 nanti akan bersaing demi menjadi wakil Asia dan akan beraksi di peringkat playoff berdepan negara dari benua lain.
6 negara Asia layak ke Piala Dunia 2026
1- Iran.
2- Uzbekistan.
3- Korea Selatan.
4- Jordan.
5- Jepun.
6- Australia.
7- Juara kumpulan A pusingan ke-4 kelayakan.
8- Juara kumpulan B pusingan ke-4 kelayakan.
9- Wakil tunggal Asia akan bersaing di pusingan playoff antara benua.
Saingan Piala Dunia 2026 dijadualkan berlangsung bermula pada 11 Jun sehingga 19 Julai hadapan dengan sesi undian akan diadakan pada Disember 2025 ini.