Ali Olwan Bawa Jordan Ke Piala Dunia Kali Pertama
MakanBola
Jordan FA

Jordan mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026 menerusi persembahan luar biasa oleh bekas penyerang Selangor FC, Ali Olwan.

Aksi pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia 2026 kini telah pun memasuki hari perlawanan ke-9 tatkala terdapat negara yang dalam langkah terakhir sebelum layak ke pentas tertinggi itu.

Antara pasukan yang menjadi tumpuan adalah Jordan yang berada di dalam kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait dan juga Palestin yang dilihat seimbang.

Skuad kendalian Jamal Sellami itu berjaya mengharungi aksi di peringkat kumpulan B dengan baik apabila merekodkan 4 kemenangan, 4 seri serta sekali tewas dalam 9 perlawanan.

Ini termasuklah keputusan penting menumpaskan Oman 3-0 yang berjaya dicapai pada awal pagi Jumaat di laman sendiri untuk sekaligus membawa Jordan layak ke Piala Dunia 2026.

Bekas penyerang Selangor, Ali Olwan menjadi wira pasukan Jordan dengan hatrik yang dijaringkan oleh beliau menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan dua lagi gol di babak kedua.

Kejayaan The Brave Ones ke Piala Dunia ini juga turut dibantu dengan kekalahan Iraq kepada Korea Selatan 0-2 dalam satu lagi aksi yang mengesahkan sejarah baharu untuk bola sepak Jordan.

Jordan kini berada tempat kedua kumpulan B Kelayakan Piala Dunia dengan mengumpul 16 mata ketika masih ada satu lagi perlawanan berbaku menentang Iraq pada 10 Jun hadapan.