Selangor secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada penyerang kelahiran Jordan, Ali Olwan.
Perpisahan ini diumumkan oleh Selangor FC di laman media sosial yang menyaksikan sebuah ucapan terima kasih telah ditujukan buat Ali Olwan di atas segala jasa dan kerja keras selama ini.
“Hari ini, kami mengucapkan selamat tinggal kepada penyerang Jordan kami, Ali Olwan,” ucap Selangor FC.
“Terima kasih Ali atas semangat, dedikasi dan detik-detik yang tidak akan dilupakan bersama jersi Merah Kuning.”
Pihak kelab turut mengambil kesempatan untuk mendoakan kejayaan untuk Ali Olwan dalam perjalanan karier penyerang berusia 25 tahun ini bersama pasukan baharu di masa akan datang.
“Semoga berjaya dalam perjalanan baharu anda,” ucap pihak kelab Gergasi Merah di dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Ali Olwan tiba di Selangor pada Ogos 2024 lalu dari kelab Qatar, Al-Shamal SC dan telah merekodkan 3 gol serta satu bantuan jaringan dalam 17 aksi buat pasukan naib juara Liga Super ini.
Salah satu jaringan yang paling diingati oleh penyokong setia Selangor sudah pastinya ketika menumpaskan kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dalam aksi AFC Champions League Two.
Selain Ali, Selangor turut mengambil keputusan dengan tidak meneruskan khidmat peledak berbisa kelahiran Chile, Ronnie Fernandez yang sudah pun sah menjadi milik kelab Palestino.