Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC mengumumkan ketibaan pemain sensasi Jordan, Ali Olwan.
Pemain berusia 24 tahun itu menamatkan teka-teki penggempur baharu Gergasi Merah apabila diumumkan secara rasmi hari ini.
Beliau sebelum ini beraksi buat kelab Qatar, Al-Shamal FC namun berdepan persaingan sengit untuk mendapatkan tempat di sana.
Gandingan cemerlangnya di Piala Asia 2023 bersama Yazan Al-Naimat dan Musa Al-Taamari telah membantu Jordan muncul naib juara di Qatar.
Perpindahan beliau telah diumumkan oleh ejennya menerusi satu hantaran dengan kelibat Ali Olwan memegang jersi bernombor 90 mencuri perhatian.
“Penyerang baharu Selangor, Ali Alwan telah tiba. Dilahirkan di Amman, Jordan, Olwan merupakan salah seorang pemain utama skuad Kebangsaan Jordan sejak berusia 21 tahun.
“Beliau telah membuat 42 penampilan setakat ini dan bermain dalam kesebelasan utama untuk Jordan dalam 32 perlawanan daripada 42 perlawanan dalam beberapa pertandingan seperti Kelayakan Piala Asia, Piala Asia AFC, Kelayakan Piala Dunia dan perlawanan Persahabatan Antarabangsa sejak 21 November 2020.
“Selain itu, Olwan juga telah menjaringkan 12 gol bersama Jordan termasuk hatrik menentang Malaysia dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa pada Oktober 2021,” ujar Selangor FC.
Kehadirannya juga bakal menyertai dua rakan senegara, Reziq Bani Hani dan juga Noor Al-Rawabdeh terutamanya menjelang sepak mula Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).