Malaysia Antara 8 Negara Sertai CAFA Nations Cup?
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Malaysia dilaporkan akan menyertai CAFA Nations Cup 2025 bersama 7 lagi negara Asia Tengah pada September ini.

Terdahulu, jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan bakal ada agenda yang menarik membabitkan pasukan negara pada bulan September ini oleh kerana tiada aksi Kelayakan Piala Asia.

”Kami teruja tentang bulan September hadapan dan kami akan gunakan tempoh itu untuk mencabar diri dan sudah tentunya membina semula permainan dengan menentang pasukan yang kuat,” kata Peter Cklamovski.

Kini, menerusi laporan wartawan, Thomas Bullock, Malaysia dan juga Oman merupakan dua pasukan yang mengesahkan menyertai CAFA Nations Cup 2025 bersama 6 lagi negara di rantau Asia Tengah itu.

”Oman dan Malaysia akan turut serta dalam kejohanan CAFA Nations Cup,” tulis Thomas Bullock di laman X.

”Mereka bakal sertai Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Iran,” lapor beliau yang sering kali membawakan berita dari rantau Asia Tengah.

Jika benar, skuad Harimau Malaya akan terbang sama ada ke Kyrgyzstan atau Uzbekistan yang dipilih sebagai tuan rumah CAFA Nations Cup yang dijadualkan bermula pada 26 Ogos nanti.

Walau bagaimanapun, masih belum ada sebarang kenyataan dari pihak penganjur atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri mengenai penyertaan ke CAFA Nations Cup ini.

Untuk makluman, CAFA Nations Cup merupakan kejohanan antarabangsa yang disertai 6 negara di rantau Asia Tengah seperti Afghanistan, Iran, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Turkmenistan.

Edisi sulung CAFA Nations Cup pada 2023 lalu menyaksikan Iran dinobatkan sebagai juara setelah mengatasi Uzbekistan 1-0 di perlawanan akhir manakala Oman dan Kyrgyzstan pula di tempat ke-3 dan keempat.