Calon Pemain Warisan Harimau Malaya Bakal Ke JDT
MakanBola
JDT TV

Johor Darul Ta’zim (JDT) makin hampir untuk mendapatkan calon pemain warisan Harimau Malaya yang hangat menjadi bualan ketika ini.

Sebelum ini, bintang kacukan Harimau Malaya, Hector Hevel yang berdarah warisan Malaysia-Belanda sah menjadi rekrut skuad JDT selepas kontrak bersama Portimonense telah pun berakhir.

Ini disusuli dengan kehadiran pertahanan tengah Malaysia, Jon Irazabal ke JDT selepas beraksi cemerlang membantu kelab Azerbaijan, Sabah FK merangkul kejuaraan domestik musim lalu.

Minggu lalu, Joao Figueiredo yang menjaringkan salah satu gol ketika mengatasi Vietnam pula meraih tumpuan apabila diperkenalkan selaku pemain baharu JDT untuk musim akan datang.

Perpindahan 3 pemain warisan Malaysia yang beraksi di luar negara ke pasukan JDT ini menjadi satu topik hangat malah mendapat respon pelbagai dalam kalangan penyokong bola sepak.

Peminat ketika ini dikejutkan dengan makluman seorang lagi bintang warisan Malaysia ditemui iaitu bekas ketua pasukan Sporting Gijon, Nacho Mendez menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Menurutnya, Mendez yang beraksi di posisi tengah memiliki hubungan bersama Malaysia di sebelah datuk beliau malah proses pendokumentasian juga sudah berada di fasa akhir.

Menariknya, nama Nacho Mendez ini sudah dikaitkan bakal ke pasukan JDT sebelum ini menurut laporan di Sepanyol dan dikatakan proses perpindahan pemain tengah ini telah pun selesai.

”Nacho Méndez telah memuktamadkan perpindahannya ke JDT dengan menandatangani kontrak selama 3 musim, dan kini hanya menanti pengumuman rasmi,” lapor El Comercio.

Andai perkara ini benar berlaku, maka Nacho Mendez akan menjadi tonggak warisan Harimau Malaya ke-4 yang sertai pasukan JDT untuk jendela perpindahan menjelang musim 2025-2026.