JDT Dikatakan Sudah Selesai ‘Ikat’ Nacho Mendez 3 Musim
MakanBola
JST/RSDG

Khabar angin membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pemain tengah, Nacho Mendez difahamkan sudah hampir selesai dengan kontrak selama 3 musim

Minggu lalu, wartawan Sepanyol, Angel Garcia menerusi satu laporan menjelaskan bahawa JDT menawarkan kontrak untuk merekrut Nacho Mendez dengan kenaikan gaji 4 kali ganda.

”Pemain tengah Real Sporting de Gijon iaitu Nacho Méndez, dikhabarkan sedang mempertimbangkan tawaran daripada JDT,” tulis Angel Garcia di laman X.

“Kelab yang turut menampilkan Jesé, Jonathan Viera dan Antonio Glauder ini bakal menggandakan 4 kali ganda gaji beliau sekarang.”

Info terbaharu oleh laman berita Sepanyol, El Comercio pula mendedahkan bahawa perpindahan Nacho Mendez sudah pun dimuktamadkan pada Khamis dengan kontrak 3 musim.

”Nacho Méndez telah memuktamadkan perpindahannya ke JDT dengan menandatangani kontrak selama 3 musim, dan kini hanya menanti pengumuman rasmi,” lapor El Comercio.

Nacho Mendez yang berusia 27 tahun ketika ini tampil cukup cemerlang mengemudi jentera tengah Real Sporting de Gijon musim lalu dengan beraksi sebanyak 40 kali dan mencetak 4 gol.

Setakat artikel ini diterbitkan, masih belum ada pengumuman rasmi mengenai Nacho Mendez dari pihak pengurusan kelab JDT tatkala persiapan skuad Harimau Selatan masih berjalan seperti biasa.