Wartawan Sepanyol Dedah JDT Tawar Kontrak Lumayan Buat Bintang LaLiga 2
MakanBola
JST/RSDG

Sebuah laporan di Sepanyol mengatakan Johor Darul Ta’zim (JDT) menawarkan kontrak lumayan buat seorang pemain di LaLiga 2.

Timbul khabar angin mengaitkan kelab gergasi tanah air, JDT yang dikatakan berminat untuk mendapatkan Nacho Mendez yang ketika ini beraksi bersama kelab LaLiga 2, Real Sporting de Gijon.

Berita ini dilaporkan oleh salah seorang wartawan Sepanyol, Angel Garcia yang memaklumkan bahawa Mendez ketika ini sedang mempertimbang tawaran dari JDT dengan kenaikan gaji 4 kali ganda.

”Pemain tengah Real Sporting de Gijon iaitu Nacho Méndez, dikhabarkan sedang mempertimbangkan tawaran daripada JDT,” lapor Cazurreando di laman X.

“Kelab yang turut menampilkan Jesé, Jonathan Viera dan Antonio Glauder ini bakal menggandakan 4 kali ganda gaji beliau sekarang.”

Sungguhpun begitu, Real Sporting de Gijon dilaporkan ingin menawarkan kontrak lanjutan buat Mendez untuk menyekat minat dari kelab lain termasuklah JDT dan pasukan di LaLiga.

“Kelab dari Asturias itu mahu melanjutkan kontraknya, selain turut mendapat minat daripada beberapa pasukan di LaLiga dan Segunda División di Sepanyol,” tambah Angel Garcia.

Nacho Mendez yang berusia 27 tahun ketika ini tampil cukup cemerlang mengemudi jentera tengah Real Sporting de Gijon musim lalu dengan beraksi sebanyak 40 kali dan mencetak 4 gol.

Sehingga kini masih tiada pengumuman rasmi dari pihak JDT tentang berita ini dan sekiranya benar, Mendez akan menjadi pemain kedua yang tiba di Johor selepas Antonio Glauder.