Calon pemilik baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru-baru ini telah mendedahkan jumlah hutang yang ditanggung pasukan yang digelar Sang Kenari itu.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Dato’ Seri Azizul Tandek, telah didedahkan bahawa jumlah hutang yang ditanggung Kedah kini berjumlah RM 14 juta.
Bagi beliau yang juga pemilik syarikat DSAT Group, orang di luar mungkin boleh mempertikaikan tindakan untuk mengambil alih kelab tersebut tetapi untuk mengambil hutang sebanyak RM 14 juta ini bukan satu perkara yang remeh.
“Pihak sana (KDA FC) yang datang kepada saya. Oleh kerana pertimbangan dan simpati terhadap pemain dan juga staf yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan, DSAT membuat keputusan untuk ambil alih KDA FC 100 peratus.
“Apabila pihak kami keluarkan duit 100 peratus apa pula KDA FC akan bagi (kepada) kami ? Sebab itu keputusan untuk mengambil 100 peratus supaya kami urus semuanya sendiri . Orang luar boleh pertikai tapi untuk mengambil hutang sebanyak RM 14 juta ni bukan benda yang kecil.
“Pihak DSAT nak bantu pulihkan ekonomi dan juga taring KDA FC supaya tidak ada masalah mestilah kami dah kaji formula kami sendiri. Dan tidak perlu semua pihak tahu cara atau bagaimana kami nak pulihkan. Itu kelebihan DSAT Group,” kongsi laman Facebook tersebut.
Sebelum ini, MakanBola melaporkan bahawa sebuah pusat perubatan swasta terkenal di Jitra iaitu Mahsuri Medical Centre yang merupakan anak syarikat DSAT Group telah menghantar surat tawaran untuk membeli 100 peratus saham KDA FC.
Pihak pengurusan Kedah telah diberikan tempoh tujuh hari untuk memberi maklum balas mengenai tawaran yang diberikan oleh pihak Mahsuri Medical Centre tersebut.