Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan meminta FIFA menyemak semula penggantungan satu perlawanan yang dikenakan terhadap penyerang pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Folarin Balogun, sebelum badan kawal selia bola sepak antarabangsa itu membatalkan penggantungan tersebut pada Ahad.
Trump menyambut baik keputusan FIFA itu, yang membolehkan Balogun, 25 tahun boleh beraksi menentang Belgium dalam perlawanan yang berlangsung di Seattle pada Isnin.
Balogun, penjaring terbanyak skuad Amerika Syarikat, dilayangkan kad merah susulan satu kekasaran kontroversi ketika pasukannya menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 pada Rabu sekali gus memaksanya meninggalkan padang.
Kad merah itu secara automatik menyebabkan Balogun digantung satu perlawanan tanpa sebarang hak untuk membuat rayuan seperti yang lazim dilaksanakan.
FIFA berkata ia akan membenarkan beliau beraksi dalam perlawanan seterusnya, satu keputusan yang jarang berlaku dalam sejarah Piala Dunia.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, FIFA memaklumkan bahawa, “Pelaksanaan penggantungan automatik satu perlawanan terhadap pemain Amerika Syarikat, Folarin Balogun ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama 1 tahun.”
Akhbar The New York Times melaporkan bahawa Trump menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino pada Rabu dan meminta beliau menyemak semula penggantungan Balogun, dengan memetik tiga individu yang mengetahui mengenai perbualan tersebut.
Penyiar sukan, Ben Jacobs merupakan pihak pertama yang melaporkan bahawa Rumah Putih telah menghubungi Infantino bagi tujuan itu. MS NOW turut mengesahkan bahawa Trump memang telah menghubungi Presiden FIFA tersebut.
Rumah Putih bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera kepada CNBC apabila diminta mengulas mengenai penglibatan Trump dalam isu itu.
Trump kemudian menulis di akaun Truth Social miliknya: “Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan yang serius!”.
Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan perubahan pendirian FIFA untuk menarik balik penggantungan Balogun, sambil berhujah bahawa keputusan itu bercanggah dengan peraturan bertulis FIFA.
“RBFA sedang meneliti semua pilihan yang ada,” kata persatuan itu dalam kenyataannya.
Trump dilihat memainkan peranan yang aktif sepanjang kejohanan Piala Dunia ini, yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino yang sebelum ini menganugerahkan Trump Anugerah Keamanan Sulung FIFA tahun lalu, selepas Trump giat berusaha mendapatkan Hadiah Keamanan Nobel namun tidak berjaya.
Pendedahan kewangan Trump bagi tahun 2025 yang didedahkan kepada umum minggu lalu menunjukkan bahawa Infantino telah menghadiahkan Trump 10 keping tiket yang bernilai AS$15,000 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA pada Julai tahun lalu di Stadium MetLife, New Jersey.
Trump pernah menghadiri perlawanan tersebut yang menyaksikan Chelsea menewaskan Paris Saint-Germain 3-0 malah turut berada di atas padang bersama Infantino bagi menyampaikan trofi kepada juara.
Menurut sumber The Athletic, Ketua jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino turut tampil mempertahankan keputusan FIFA yang menarik balik penggantungan kad merah Folarin Balogun, sekali gus membolehkan pemain itu beraksi dalam perlawanan pusingan 16 menentang Belgium pada Isnin. Pemenang perlawanan itu akan mara ke suku akhir untuk bertemu sama ada Portugal atau Sepanyol.
“Jika ada pihak yang benar-benar terjejas dalam situasi ini, ia adalah Amerika Syarikat. Bolehkah sesiapa menjelaskan bahawa kami tidak dihukum? Kami bermain lebih 30 atau 35 minit dengan kekurangan seorang pemain dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia. Ia bukan seperti kami mendapat sebarang kelebihan.
Tidak, tidak. Tiada keuntungan luar biasa yang kami peroleh daripada situasi ini. Pada akhirnya, kami bukan mangsa, tetapi kami juga bukan pihak yang bersalah dalam cerita ini,” kata Pochettino.
Peristiwa ini membuka perdebatan lebih luas mengenai hubungan antara politik dan bola sepak di peringkat antarabangsa. Ia turut menimbulkan persoalan terhadap ketelusan proses disiplin FIFA.