Campuran pemain Belanda dan England dijangka mewarnai revolusi skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.
Skuad kendalian Pau Marti beraksi cemerlang pada aksi persahabatan Tier 1 FIFA selepas menundukkan pasukan ke-187 dunia, Laos dengan keputusan 3-1.
Harimau Malaya meneruskan momentuk cemerlang apabila mengikat pasukan ke-125 dunia, India di Hyderabad dengan keputusan 1-1.
Revolusi skuad Harimau Malaya dijangka dapat disaksikan tidak lama lagi selepas laman Frfuturetalents telah memuat naik senarai panjang tonggak kacukan yang berpotensi besar mewakili negara.
Sebahagian besar pemain ini beraksi di Eropah dan merupakan bintang kelahiran Belanda seperti Zien Flemming (Burnley), Milan Van Ewijk (Coventry), Sam Scheperman (Heracles Almelo) dan juga Iggy Houben (PSV).
Bukan itu sahaja, terdapat juga bintang kelahiran England yang turut disenaraikan iaitu Josh Brownhill (Burnley), Kiernan Dewsbury-Hall (Chelsea), Jamie Shackleton (Sheffield United), Marcus Tavernier (AFC Bounemouth) dan juga Tyrhys Dolan (Blackburn).
Terdapat juga nama-nama pemain kacukan dari Australia, Sweden dan juga Wales yang mewarnai senarai panjang tersebut.
Baru-baru ini, Frfuturetalents juga ada memuat naik potongan video berkenaan Iggy Houben yang mengakui bahawa beliau berketurunan Malaysia menerusi neneknya yang berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berkenaan pemain yang berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya dalam masa terdekat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pemain sendiri.
Ujian berikutnya buat skuad negara adalah aksi di ASEAN Mitshubishi Electric Cup (AMEC) 2024 dengan aksi pembukaan menentang Kemboja.