Kelab Australia, Central Coast Mariners bakal mengharungi aksi keempat Piala AFC dengan dua kekalahan berturut-turut dalam A-League.
Selepas tewas kepada satu lagi wakil Australia dalam Piala AFC, Macarthur pada minggu lepas, CCM kali ini tewas kepada Perth Glory 2-0.
Walaupun beraksi di gelanggang sendiri, The Glory tidak memandang rendah The Mariners yang berstatus juara A-League musim lepas.
Babak pertama menyaksikan tekanan dikenakan pelawat ke atas Perth Glory. Bagaimanapun, ketumpulan serangan mengakibatkan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Semuanya berubah pada babak kedua apabila penyerang berdarah Macedonia-Australia, Stefan Colakovski meletakkan The Glory di hadapan pada minit ke-52.
CCM yang dibimbing Mark Jackson berusaha mencari gol penyamaan tetapi tidak berhasil.
Malah, mereka kemudiannya dibolosi buat kali kedua pada minit ke-90 menerusi bekas penyerang Fulham, Adam Taggart.
Keputusan ini menyaksikan The Mariners berada di kedudukan kedua tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Kekalahan ini bukan persiapan ideal buat anak-anak buah Jackson kerana selepas ini mereka perlu berdepan kelab Liga 1 Indonesia, Bali United.
Selepas dibelasah 6-3 dalam aksi ketiga Kumpulan G pada 26 Oktober lalu, Serdadu Tridatu pastinya tidak mahu perkara sama berulang di gelanggang mereka.
Kedua-dua pasukan ini bakal bersemuka buat kali kedua pada 8 November ini.