Jurulatih interim Central Coast Mariners, Abbas Saad akui pasukannya perlu menunjukkan persembahan terbaik bila menentang Terengganu FC dalam Piala AFC.
Ini kerana skuad Penyu masih belum kalah dalam 11 perlawanan Liga Malaysia (Liga M). Selain itu, ini juga penampilan ketiga Terengganu dalam saingan Piala AFC.
Justeru, Abbas mahu anak-anak buahnya bukan saja bersedia menghadapi perlawanan esok. Malah, beliau mahu pemain-pemainnya berwaspada dengan cabaran yang dilemparkan tuan rumah.
“Ya, kita ada semua pemain (yang cergas). Sudah tentu kita memiliki skuad yang lengkap. Kita bekerja keras seperti yang (kapten) Danny (Vukovic) katakan. Kita tak sabar, ini kali pertama kita beraksi dalam Piala AFC sejak 10 tahun lepas.
“Ini satu cabaran besar, Terengganu satu pasukan yang bagus. Kita bekerja keras sejak dari minggu lepas untuk perlawanan ini dan kita menantikan (aksi Piala AFC esok),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Ini merupakan penampilan pertama The Mariners dalam Piala AFC selepas sebelum ini membuat empat penampilan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Kedua-dua pasukan bakal memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.